fb fb fb fb fb

Institusi fatwa perlu bergerak kolektif: PM

Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang. - Foto FB ANWAR IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 24 Julai - Institusi fatwa perlu bergerak secara kolektif dan memastikan fatwa yang ingin dikeluarkan adalah hasil daripada perolehan maklumat serta analisis mendalam terhadap sesuatu permasalahan oleh golongan pakar dan berkelayakan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara yang disentuh pada pertemuan beliau dengan Ahli Jawatankuasa Fatwa Pulau Pinang diketuai Muftinya, Profesor Madya Dr Mohd Sukki Othman.

“Tanggungjawab mengeluarkan fatwa adalah tugas yang luhur dan penting dalam menjawab serta menjelaskan hukum demi pencerahan dan kefahaman umat.

“Umat perlukan fatwa yang menepati realiti setempat dan juga zaman selain mewujudkan kemahiran baharu untuk berinteraksi dengan permasalahan dan isu semasa bagi manfaat umum,” katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Pada pertemuan sama, Perdana Menteri turut bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan ilmu khususnya hal ehwal fiqh, maqasid syariah dan ikhtiar mengukuhkan penyelidikan isu berkaitan fatwa.

KHAIRUL AMRI BIN YASIN