SINTOK, 21 April – Universiti Utara Malaysia (UUM) mengambil langkah segera menubuhkan dua jawatankuasa khas bagi menyiasat insiden kemalangan yang meragut nyawa seorang pelajarnya serta menilai semula tahap keselamatan perkhidmatan bas kitaran dalam kampus.
Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr. Mohd Foad Sakdan berkata Jawatankuasa Siasatan Kemalangan akan menjalankan siasatan terperinci terhadap punca kejadian, termasuk memastikan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan aspek keselamatan.
Sementara itu, Jawatankuasa Integriti Penilaian Perkhidmatan Bas Kitaran Kampus ditubuhkan untuk menilai kecekapan operasi, pematuhan peraturan, integriti dan keberkesanan sistem pengangkutan kampus secara keseluruhan.
"Pihak Polis turut menjalankan siasatan terhadap kejadian ini. UUM amat komited memastikan keselamatan dan kebajikan seluruh warga universiti sentiasa menjadi keutamaan," katanya menerusi kenyataan.
Dalam kejadian pada pagi Sabtu lalu, pelajar Semester 4 program Sarjana Muda Pemasaran dengan Kepujian, Manarina Hasya Muhamad Karim, 22, maut selepas dihimpit sebuah bas semasa berjalan kaki menunggu giliran untuk menaiki bas dalam kawasan kampus.
Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyyah (HSB), Alor Setar pada petang hari yang sama akibat kecederaan dalaman, iaitu lebam pada jantung dipercayai berpunca daripada hentakan atau pelanggaran melibatkan kenderaan.
Dr. Mohd Foad turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarhamah mewakili seluruh warga UUM.
“Pihak universiti telah mengambil tindakan segera membantu keluarga Allahyarhamah dalam proses penghantaran dan pengurusan jenazah serta memberikan bantuan berbentuk pampasan insurans, bantuan khairat, dan sebagainya,” jelas beliau.
UUM juga menyediakan bantuan kebajikan dan sokongan kaunseling kepada rakan-rakan serta keluarga mangsa yang terkesan dengan insiden tragik tersebut.