KUALA LUMPUR, 21 November- Syarikat dari negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RECP) dan China akan melabur RM100 bilion dalam tempoh lima tahun di Malaysia melalui inisiatif Inovasi dan Ekosistem Digital RCEP (Ride) Madani.
Majlis Kerjasama Ekonomi Digital Malaysia-China (MCDC) yang mengumumkan perkara itu berkata, perkongsian strategik yang dijalin tersebut berperanan memacu aspirasi digital negara serta matlamat kelestarian alam sekitar.
Justeru, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menyokong usaha Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) dalam memupuk ekosistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang lestari, selain menerajui inisiatif yang selari dengan agenda pembangunan negara.
"Sekarang ini dah berkembang dengan kerjasama daripada negara China dan sebagainya, di mana bukan sahaja menjual komputer lagi (atau) menjual sistem, tetapi berkembang kepada banyak bidang digital yang baru (seperti) sekuriti siber dan AI (kecerdasan buatan).
"Disinilah saya kira, PIKOM memainkan peranan untuk memastikan bukan sahaja kita menguasai ICT, tetapi bagaimana kita kena berada dalam keadaan selamat, wujudkan nilai-nilai murni, apatah lagi dengan adanya AI, ia akan mengubah cara kita bekerja dan berfikir.
"Sebab itu saya kira persidangan ini amat penting untuk kita hubung jalinkan. Bukan saja dalam kalangan rakyat (dan) pemain industri Malaysia tetapi juga adanya sumbangan serta kerjasama dengan pihak dari China.
"Dengan pelaburan yang ada, saya kira rakyat Malaysia patut ambil kesempatan terutama pemain industri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Sidang Kemuncak Kepimpinan PIKOM 2023.
Sidang kemuncak itu turut menganjurkan Meja Bulat Juara Digital Malaysia-RCEP sebagai platform bagi pemain industri dan wakil kerajaan bertukar serta berkongsi pandangan dalam membentuk masa depan ekonomi digital dan ekonomi hijau di rantau ini.