Inflasi kesihatan Malaysia meningkat kepada 3.0 peratus pada 2025

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin/ Bernama

KUALA LUMPUR, 7 Julai- Inflasi kesihatan Malaysia meningkat kepada 3.0 peratus pada 2025 berbanding 1.4 peratus pada tahun sebelumnya, didorong kenaikan kos perkhidmatan kesihatan dan insurans, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenaikan kategori perkhidmatan kesihatan: 4.4 peratus pada 2025, mendorong inflasi kesihatan.
  • Kategori ubat kekal komponen terbesar IHK dengan sumbangan 38.9 peratus, inflasi ubat meningkat kepada 2.7 peratus.
  • Perbelanjaan insurans meningkat 9.0 peratus pada 2025 selepas tidak berubah tahun sebelumnya.
  • IHK dibangunkan sebagai statistik pelengkap untuk mengukur trend kos kesihatan bagi kerajaan, pemain industri dan masyarakat.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan itu dipacu oleh kategori perkhidmatan kesihatan yang merekodkan kenaikan 4.4 peratus pada 2025 berbanding 0.9 peratus pada tahun sebelumnya.

“Inflasi kategori ubat mencatatkan peningkatan 2.7 peratus berbanding 2.2 peratus pada 2024, manakala kategori peralatan kesihatan meningkat kepada 1.2 peratus dalam tempoh sama.

“Kategori ubat merupakan komponen terbesar dalam perbelanjaan kesihatan oleh isi rumah di Malaysia dengan sumbangan 38.9 peratus daripada wajaran Indeks Harga Kesihatan (IHK),” katanya menerusi Laporan Awalan Indeks Harga Kesihatan (IHK) Malaysia 2025 yang diterbitkan hari ini.

Beliau berkata peningkatan inflasi kesihatan turut dipengaruhi oleh kenaikan kelas perbelanjaan insurans sebanyak 9.0 peratus pada 2025 selepas tidak merekodkan sebarang perubahan pada tahun sebelumnya.

Datuk Seri Dr Mohd Uzir berkata pembangunan IHK Malaysia menggabungkan komponen kesihatan daripada beberapa kumpulan Indeks Harga Pengguna (IHP), manakala perbandingan inflasi kesihatan bagi negara lain merujuk kepada kumpulan kesihatan dalam IHP masing-masing.

“Pada 2025, kadar inflasi kesihatan bagi negara terpilih berada antara negatif 0.8 peratus hingga 5.3 peratus. Vietnam merekodkan kadar lebih tinggi berbanding Malaysia iaitu 5.3 peratus, manakala Thailand mencatatkan kadar terendah pada negatif 0.8 peratus,” katanya.

Menurut DOSM, IHK dibangunkan sebagai statistik pelengkap bagi mengukur trend perubahan kos kesihatan, sekali gus membantu kerajaan, pemain industri dan masyarakat memahami perkembangan sektor berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.