
AYER KEROH, 7 Julai – Melaka menyasarkan pembinaan lebih 38,440 unit Rumah Mampu Milik (RMM) dalam jangka masa panjang bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri itu memiliki kediaman sendiri.
- Sudah dibina 23,514 unit Rumah Mampu Milik setakat ini.
- Kerajaan negeri berpegang pada prinsip Melaka Sayang Rakyat dan komited meningkatkan penyediaan rumah mampu milik bagi rakyat.
- Perjanjian pembangunan ditandatangani antara Lembaga Perumahan Melaka dan Skywiz Realty Sdn Bhd di Seri Negeri.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, sehingga kini sebanyak 23,514 unit RMM telah dibina.
“Berteraskan prinsip Melaka Sayang Rakyat, kerajaan negeri komited untuk melonjakkan pencapaian ini kepada 38,440 unit pada masa hadapan agar impian rakyat memiliki rumah sendiri menjadi kenyataan.
“Saya percaya dengan komitmen yang tinggi daripada semua pihak, projek ini akan menjadi pemangkin kepada penyediaan lebih banyak kediaman berkualiti, mampu dimiliki serta memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis menandatangani Perjanjian Pembangunan RMM antara Lembaga Perumahan Melaka dan Skywiz Realty Sdn Bhd di Seri Negeri di sini.