
AYER KEROH, 7 Julai – Melaka akan meneliti semula dasar pembangunan perumahan negeri, termasuk mempertimbangkan cadangan supaya bangunan yang melebihi dua tingkat dilengkapi dengan kemudahan lif bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan penghuni.
- Cadangan saranan Ketua Menteri bahawa penyediaan lif semakin penting untuk kemudahan dan keselamatan penghuni.
- Penyediaan lif mampu meningkatkan nilai dan kebolehpasaran hartanah serta memberi manfaat jangka panjang kepada pembeli.
- LPM menggalakkan lif bagi rumah melebihi tiga tingkat dan menandatangani Perjanjian RMM untuk pembangunan lebih mesra rakyat.
Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan Melaka (LPM), Datuk Murad Husin berkata, cadangan itu selaras dengan saranan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, yang melihat penyediaan lif semakin penting.
Jelasnya, penyediaan lif bukan sahaja memberi kemudahan kepada penghuni, malah turut berupaya meningkatkan nilai serta kebolehpasaran hartanah.
“Ini yang menyebabkan saranan itu penting. Mungkin pada peringkat dasar pembangunan negeri Melaka, kita sedang mengkaji keperluan syarat bagi menggalakkan pembinaan lif untuk bangunan melebihi dua tingkat, termasuk rumah dan bukan hanya kedai sahaja.
“Sebenarnya, rumah juga kita galakkan supaya mempunyai lif sekiranya melebihi tiga tingkat. Ia dapat memberi gambaran kepada pembeli bahawa keperluan lif bukan sahaja untuk masa kini, malah sehingga mereka meningkat usia, kemudahan itu menjadi sangat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas Majlis menandatangani Perjanjian Pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) antara Lembaga Perumahan Melaka dan Skywiz Realty Sdn Bhd di Seri Negeri di sini.
Langkah itu selaras dengan usaha kerajaan negeri bagi memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan lebih mesra rakyat serta memenuhi keperluan semasa.