Sultan Perak berkenan rasmi Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando

Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan melihat senjata api yang dipamerkan selepas baginda merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando/Foto BERNAMA

IPOH, 7 Julai – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat merasmikan Kem Sultan Nazrin Shah 69 Komando di sini, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kehadiran keluarga diraja termasuk Raja Permaisuri Tuanku Zara Salim, Raja Muda Raja Jaafar dan Raja Dihilir Raja Iskandar Dzulkarnain.
  • Menteri Dalam Negeri berkata perasmian melambangkan komitmen kerajaan memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan menghadapi cabaran kompleks.
  • Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian kem.
  • Kem dilengkapi fasiliti latihan moden termasuk lapang sasar 1.2 kilometer, CQB House, latihan payung terjun dan lapang sasar tertutup.

Turut berangkat Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Dihilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam sembah ucapan berkata, perasmian kem tersebut melambangkan komitmen kerajaan memperkukuh keupayaan pasukan keselamatan menghadapi cabaran yang semakin kompleks dan dinamik.

“Kem ini membuktikan kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan, infrastruktur dan persekitaran latihan terbaik demi memastikan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara,” katanya.

Pada majlis tersebut, Sultan Nazrin berkenan menyempurnakan lafaz dan menandatangani plak sebagai simbolik perasmian.

Kem Sultan Nazrin Shah mula dibina pada April 2018 sebelum diserahkan secara rasmi pada 4 Mei 2024.

Selain dilengkapi prasarana latihan moden bertaraf dunia, ia turut menyediakan fasiliti latihan komprehensif meliputi Kompleks Latihan Para, kemudahan latihan payung terjun, Close Quarter Battle (CQB) House, lapang sasar tertutup serta lapang sasar jarak pendek dan sederhana.

Mercu tanda utama kem adalah lapang sasar 1.2 kilometer yang melakar sejarah sebagai lapang sasar terpanjang di negara ini dan digunakan untuk latihan taktikal, antikeganasan dan penembak tepat jarak jauh.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.