fb fb fb fb fb

Individu terjatuh rumah bot di Tasik Temenggor ditemukan lemas

Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, ditemukan lemas kira-kira 11.25 malam tadi / Foto Hiasan

lPOH, 24 Januari - Seorang individu ditemukan lemas selepas terjatuh dari rumah bot di Tasik Temenggor dekat Gerik, pada kejadian petang semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa, Muhamad Zulfaqar Zulkarnaen, 33, ditemukan lemas kira-kira 11.25 malam tadi.

Beliau berkata pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.20 petang dan tiba di lokasi pada 7.56 malam.

"Mangsa yang merupakan anak kepada seorang anggota bomba di Gerik dilaporkan terjatuh dari rumah bot kecil semasa mahu menambat tali sauh di tasik berkenaan.

"Seramai 31 orang terlibat dalam operasi tersebut terdiri daripada bomba, polis, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Sukarelawan Malaysia serta orang awam dengan kekuatan logistik menggunakan tujuh buah bot," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Sabarodzi, mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada 12.30 tengah malam.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN