JOHOR BAHRU, 22 Januari- Individu yang tidak mengalami simptom teruk terhadap sesuatu penyakit dinasihatkan mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Mahmoodiah, Johor Bahru bagi mengurangkan kesesakan di zon semi kritikal dan zon kritikal di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru, Johor
Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, ia berikutan Klinik Kesihatan Mahmoodiah yang berdekatan dengan HSA dilanjutkan waktu operasinya dari 8.00 pagi sehingga 9.00 malam setiap hari, berbanding 5.00 petang sebelum ini.
Hospital Sultanah Aminah menjadi hospital tersibuk di negeri itu dengan kehadiran 2,000 pesakit di poliklinik dan purata 600 pesakit setiap hari di Jabatan Kecemasan dan Trauma.
Situasi itu menyebabkan zon merah dan zon kuning sesak sehingga menyebabkan pesakit dan waris menunggu dalam tempoh masa panjang.
"KKM telah mengambil satu inisiatif untuk melanjutkan masa perkhidmatan Klinik Kesihatan Mahmoodiah, sebahagian kes khususnya bagi kes di zon kuning iaitu tidak berat seperti selsema, sakit perut dan pening boleh dirujuk ke Klinik Kesihatan Mahmoodiah supaya untuk mengurangkan bebanan Hospital Sultanah Aminah", katanya kepada pemberita di sini.
17 Januari lalu, HSA mengeluarkan notis penutupan zon hijau di Jabatan Kecemasan dan Trauma HSA bermula 2.00 petang hingga 9.00 malam bagi menampung peningkatan pesakit Zon Kuning serta Zon Merah yang melebihi kapasiti.
Pengarah HSA, Dr Sal Atan, berkata perkhidmatan rawatan di zon itu dibuka semula hari sama sekitar 5.00 petang.
Manakala Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad menerusi kenyataannya, kesesakan dan lambakan pesakit dia kedua-dua zon itu akan dikurangkan sekali gus memberi jaminan perkhidmatan di HSA tidak lumpuh.