IPOH, 18 April – Kerajaan Negeri Perak bersedia untuk memudahkan urusan berkaitan tanah bagi tujuan pembangunan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Berapit di Pengkalan Hulu.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata pembinaan kompleks tersebut akan menjadi langkah penting dalam menangani isu keselamatan berkaitan akses keluar masuk di sempadan negara, selain merancakkan aktiviti ekonomi di kawasan berkenaan.
“Ke arah ini, kerajaan negeri bersedia untuk memudah cara urusan berkaitan tanah yang akan dimohon oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi pembangunan Kompleks ICQS Bukit Berapit, Pengkalan Hulu yang baharu.
“Kerajaan negeri perlu memastikan isu keselamatan sempadan dan kedaulatan negeri diberi keutamaan terlebih dahulu sebelum merancang pembangunan ekonomi dan komersial di kawasan sekitar kompleks,” katanya ketika menjawab soalan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Saarani turut memaklumkan kerajaan negeri komited untuk membangunkan semula Gerai Sempadan dan Pelabuhan Darat di Pengkalan Hulu, yang dilihat berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat.
Menurut beliau, cadangan pembangunan semula Gerai Sempadan serta pembangunan ekonomi kawasan sempadan akan diteliti secara berperingkat dengan mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kerjasama dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) bagi melaksanakan projek pembangunan laluan pelancongan di Pengkalan Hulu.
“Kerajaan negeri menjangkakan kerja-kerja naik taraf ini akan menyokong sektor pelancongan di Pengkalan Hulu dan menggalakkan kemasukan pelancong dari Thailand.
“Ia juga akan membuka peluang kepada warga tempatan untuk menjana pendapatan menerusi aktiviti perniagaan di kawasan tersebut,” ujarnya.