fb fb fb fb fb

Ibu Nga Kor Ming terima nota ugutan - Polis

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner (ACP) Mohamed  Nordin Abdullah

MANJUNG, 7 Mac - Ibu Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dilaporkan menerima nota ugutan di hadapan rumahnya di Ayer Tawar, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner (ACP) Mohamed Nordin Abdullah berkata, laporan polis mengenai ugutan dibuat pesara berusia 76 tahun itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini pada pukul 10.15 pagi.

"Ugutan itu disedari mangsa semasa keluar dari rumah pada pukul 7.30 pagi dan mendapati terdapat banyak kertas bertaburan di hadapan rumahnya dengan tulisan 'Nga Kor Ming (Jangan Cabar Islam)'.

"Pengadu percaya perkataan tersebut mempunyai niat tidak baik," menurutnya menerusi satu kenyataan.

Kes masih dalam siasatan dan diklasifikasikan bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah melalui suatu komunikasi tanpa nama.

Katanya, usaha mengesan individu terlibat diteruskan.

Pihak polis turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Fariq Nazmi Mohd Mustafa di talian 013-3317099 bagi membantu siasatan.

TETITIA YUSOFF