IBS jimat 20–30 peratus, percepat pembinaan Sekolah Angkat Madani

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan/Foto RTM

BALIK PULAU, 17 Mei – Penggunaan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS) dilihat terbukti mampu menjimatkan kos pembinaan Sekolah Angkat Madani (SAM) antara 20 hingga 30 peratus serta mempercepatkan tempoh siap projek.

RINGKASAN BERITA AI
  • IBS mempercepat penyampaian projek pendidikan; contoh Blok Tambahan SK Tan Sri Awang Had Salleh siap dalam tiga bulan, lebih awal daripada jadual.
  • Pendekatan modular IBS menjamin standard pembinaan lebih konsisten serta mengurangkan risiko pembaziran dan kesilapan teknikal di tapak.
  • Kerajaan akan memperluas penggunaan IBS untuk Sekolah Angkat MADANI dan inisiatif lain bagi penyampaian infrastruktur awam yang cekap dan berimpak tinggi.

Ia menjadi pemangkin kepada transformasi besar dalam pembinaan infrastruktur pendidikan negara di bawah agenda MADANI.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pendekatan IBS membolehkan projek pendidikan dilaksanakan dengan lebih pantas, tersusun dan berkualiti, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada kaedah pembinaan konvensional yang sering terdedah kepada kelewatan.

“Kejayaan pelaksanaan projek Blok Tambahan Kelas Pra-Sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi di SK Tan Sri Awang Had Salleh membuktikan keberkesanan pendekatan baharu itu apabila ia berjaya disiapkan dalam tempoh hanya tiga bulan, lebih awal daripada jadual asal.

“Projek tersebut melibatkan pembinaan dua bangunan seluas 4,867 kaki persegi yang dilengkapi dua bilik darjah, bilik serbaguna, mini dewan makan, tandas mesra OKU serta taman permainan dalaman bagi keselesaan murid,” katanya selepas menghadiri Majlis Perasmian dan Penyerahan Blok Tambahan berkenaan di sini, hari ini.

Menurut beliau, IBS turut membuka ruang kepada standard pembinaan yang lebih konsisten kerana elemen struktur dihasilkan secara modular sebelum dipasang di tapak projek, sekali gus mengurangkan risiko pembaziran dan kesilapan teknikal.

“Pendekatan ini bukan sahaja menjimatkan antara 20 hingga 30 peratus kos pembinaan, tetapi yang lebih penting ia mempercepatkan penyampaian projek kepada rakyat,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan akan terus memperluaskan penggunaan IBS dalam projek Sekolah Angkat MADANI dan inisiatif pembangunan lain bagi memastikan penyampaian infrastruktur awam lebih cekap, pantas dan berimpak tinggi.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Amir Hamzah memaklumkan akan menghadap Sultan Pahang Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al – Mustafa Billah dalam masa terdekat, untuk menjelaskan mengenai peruntukan kerajaan persekutuan kepada negeri itu.

Ia berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada beliau untuk menjelaskan keperluan negeri dan berdasarkan keutamaan.

Pada 8 Mei lepas, Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah ketika merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Sidang Dewan Undangan
Negeri Pahang ke-15 mempersoalkan peruntukan kerajaan pusat kepada negeri Pahang.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.