Hubungan strategik ASEAN–China jana sinergi, diplomasi serantau

KUALA LUMPUR, 28 Oktober – Hubungan strategik antara ASEAN dan China perlu dilihat secara lebih seimbang agar manfaat ekonomi dan keselamatan yang dijalin dapat dinikmati secara adil oleh negara anggota rantau ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keseimbangan hubungan ASEAN–China penting untuk manfaat ekonomi dan keselamatan dinikmati secara adil oleh semua anggota rantau.
  • Ketergantungan tinggi import dari China menyebabkan defisit perdagangan kira-kira USD200 bilion, perlu ditangani.
  • Perlu memastikan keselarasan dan keadilan dalam jumlah serta nilai perdagangan antara ASEAN dan China.
  • Kehadiran AS dilihat sebagai payung keselamatan penting untuk kestabilan geopolitik dan laluan perdagangan maritim.
  • Diplomasi serantau mesti fokus pada kerjasama digital, ekonomi hijau dan pembangunan lestari untuk kurangkan pergantungan kuasa besar.

Penganalisis Strategi Keselamatan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya, Collins Chong Yew Keat menegaskan bahawa walaupun China kekal sebagai rakan dagang terbesar ASEAN dengan nilai perdagangan mencecah hampir USD1 trilion, rantau ini masih berdepan defisit perdagangan sekitar USD200 bilion akibat kebergantungan yang tinggi terhadap import dari China.

“Kita perlu menangani ketidakseimbangan ini dan memastikan ada keselarasan serta keadilan dalam jumlah dan nilai perdagangan antara kedua-dua pihak,”

“Ekonomi China masih berorientasikan eksport dan pelaburan infrastruktur, manakala ASEAN pula banyak bergantung kepada model ekonomi berasaskan eksport, menjadikan rantau ini terdedah kepada risiko ketidakseimbangan jangka panjang,” kata beliau ketika ditemui Berita RTM di Angkasapuri Kota Media, di sini hari ini.

Collins turut menekankan kepentingan memperkukuh hubungan ekonomi dan keselamatan dengan AS, khususnya di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump yang kini kembali ke arena politik dunia.

Beliau menyifatkan kehadiran AS di rantau ini penting sebagai ‘payung keselamatan’ dalam menjamin kestabilan geopolitik dan kebebasan laluan perdagangan maritim di Asia Tenggara.

“Hanya melalui jaminan keselamatan dan kestabilan laluan perdagangan yang terbuka, ASEAN dapat mempertahankan kepentingan ekonomi dan kedaulatan wilayahnya,” ujar beliau.

Tambahnya, pendekatan baharu dalam diplomasi serantau perlu memberi fokus kepada kerjasama digital, ekonomi hijau, dan pembangunan lestari, bagi memastikan ASEAN tidak terus bergantung kepada pengaruh kuasa besar tertentu.