fb fb fb fb fb

Himpunan Sumud Flotilla Pahang diadakan selepas solat Jumaat

Foto Facebook Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail

KUANTAN, 2 Oktober - Orang ramai diseru menyertai Perhimpunan Sumud Flotilla di perkarangan parkir Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini selepas solat Jumaat, esok.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam hantaran facebooknya berkata, kerajaan Negeri Pahang merakamkan rasa dukacita dan keprihatinan yang mendalam terhadap penahanan sukarelawan Global Sumud Flotilla termasuk sukarelawan Malaysia oleh tentera rejim Israel ketika kumpulan itu dalam misi kemanusiaan ke Gaza.

Beliau berkata, rakyat Pahang sentiasa berdiri teguh bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka menuntut kebebasan dan maruah, serta menyokong sebarang usaha kemanusiaan demi keamanan yang berkekalan di bumi Palestin.

Katanya, sukarelawan itu membawa semangat keberanian dan keikhlasan yang tinggi demi menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin yang sekian lama ditindas.

"Tindakan rejim Israel ini jelas merupakan satu kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia, apatah lagi terhadap mereka yang hadir dengan niat murni untuk membantu insan yang sedang sengsara.

"Bagi pihak Kerajaan Negeri Pahang, saya menyatakan solidariti penuh terhadap semua sukarelawan yang ditahan. Kerajaan Negeri juga berdoa agar mereka selamat, dilindungi daripada sebarang bahaya, serta segera dibebaskan.

"Kerajaan Negeri Pahang turut bersama Kerajaan Persekutuan menuntut rejim Israel membebaskan sukarelawan Global Sumud Flotilla tanpa syarat.

"Di samping itu, saya turut mengalu-alukan segala usaha dan bentuk sokongan daripada rakyat Pahang dengan menyertai, "katanya.

ROSLINA BINTI DIN