fb fb fb fb fb

Harga juadah di 82 lokasi bazar ramadan, Pahang berpatutan

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam

LIPIS, 17 Mac- Harga juadah di 82 lokasi bazar Ramadan seluruh Pahang dikategorikan sebagai amat berpatutan dan murah.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan Negeri Pahang, Datuk Amizar Abu Adam berkata, harga berpatutan itu sekali gus mampu menarik pengunjung untuk membeli aneka minuman dan makanan yang dijual.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai berkata, sehingga kini tiada tindakan atau kompaun dikeluarkan, walaupun penguatkuasaan telah dijalankan bermula dari awal Ramadan.

"Dapat lihat dan memantau, hari ini pun saya turun di Bazar Jelai. Setakat ini, semalam dan satu perkara yang unik, bazar ramadan negeri Pahang ini harga amat berpatutan. Ada yang tersangat murah, ada yang harga biasa.

"Kita seperti biasa, kementerian sudah ada platform untuk buat aduan dan kita bersama dengan Kerajaan Negeri Pahang untuk kita buat aduan, jangan viral facebook, kita berbincang tengok apa sebabnya, buat saja cerita, rupanya cerita palsu", katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Cashless Agrobank-Bazar Ramadan Cashless yang dirasmikan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di tapak Bazar Ramadan Felda Sungai Koyan di Lipis, Pahang.  

Katanya, setakat ini tiada aduan diterima daripada pengunjung berkaitan bazar ramadan. Pihaknya juga yakin para peniaga dapat terus mengekalkan prestasi dan kualiti makanan yang dijual.

Dalam pada itu, selain aduan, rakyat Pahang juga diseru memberi pandangan supaya dapat bersama-sama menyumbang idea dan kebaikan sempena bulan Ramadan ini.

Pahang mempunyai 3,630 peniaga berdaftar dan 4,510 tapak perniagaan membabitkan 82 lokasi dibawah anjuran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pihak swasta. 

ROSLINA BINTI DIN