fb fb fb fb fb

Hampir 500 al-Quran tanpa perakuan, lusuh digantikan di Sabah

Foto hiasan

TAWAU, 11 Mei- Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantikan hampir 500 naskhah al-Quran tanpa perakuan atau dalam keadaan lusuh menerusi pelaksanaan Program Jom Ece Al-Quran (JEQ) di Sabah.

Setiausaha Bahagian (SUB) Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) Nik Yusaimi Nik Yusof berkata, usaha itu menunjukkan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memiliki naskhah al-Quran sah dan berperakuan.

"Kita telah merekodkan pertukaran Al-Quran setakat hari ini hampir 500 unit naskah. Ia merupakan sambutan luar biasa di Tawau ini dan sudah tentu kita akan mengulangi usaha ini pada masa akan datang.

"Usaha ini sama ada kita bergerak sendiri untuk bertemu dengan masyarakat di Tawau untuk meggantikan Al-Quran yang telah disahkan," katanya lagi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Peringkat Negeri Sabah di Dataran Majlis Perbandaran Tawau di sini.

Tahun lalu Sabah mencatat pelaksanaan tertinggi dengan sebanyak 20 sesi dianjurkan, melibatkan 391 naskhah Al-Quran diganti, 321 naskhah dikenal pasti tidak berperakuan dan 342 naskhah lagi rosak.

Program berkenaan juga bertujuan mendidik masyarakat tentang kepentingan memastikan naskhah Al-Quran yang dibaca adalah sah, bebas daripada kesalahan cetakan dan telah mendapat perakuan rasmi KDN.

Program JEQ mula digerakkan secara aktif sejak 2023 oleh Bahagian Kawalan dan Penerbitan Teks Al-Quran kementerian itu.

Pelaksanaan JEQ turut melibatkan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi penilaian dan pengesahan terjemahan.

Selain itu ia juga melibatkan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri serta pelbagai komuniti setempat yang menyokong dari segi logistik dan penyertaan.

Setakat ini, lebih 1,500 perakuan rasmi KDN telah dikeluarkan kepada penerbit dan pengedar naskhah Al-Quran yang sah.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI