fb fb fb fb fb

Hampir 10,000 warga TNB bertugas pada Aidilfitri

Warga kerja TNB sedang memeriksa sebahagian daripada janakuasa bergerak yang disiapkan untuk tunggu sedia menjelang sambutan Aidilfitri/ Foto: TNB

KUALA LUMPUR, 7 April - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menugaskan hampir 10,000 tenaga kerja pelbagai peringkat di sepanjang rantaian perkhidmatannya di 11 negeri di seluruh Semenanjung bagi menjamin kestabilan bekalan elektrik menjelang sambutan Aidilfitri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata pemantauan ditingkatkan menjelang hari raya dengan kebiasaannya tempoh 72 jam bermula sehari sebelum 1 Syawal adalah kritikal berikutan orang ramai rancak membuat persiapan terutama pada malam Aidilfitri.

“Walaupun tugasan ini ialah rutin harian warga kerja di bahagian perkhidmatan masing-masing, saya yakin setiap daripada warga kerja ini akan memberikan yang terbaik demi pengguna di seluruh negara,” katanya.

Bagi menghargai sumbangan warga kerja terlibat, TNB berkata pihaknya mengekalkan tradisi menitipkan bingkisan kuih raya yang disediakan dengan kerjasama Persatuan Wanita TNB.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI