fb fb fb fb fb

Gurney Bay kini dibuka kepada umum

Temu mesra bersama Chow Kon Yeow dan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Gurney Bay

GEORGE TOWN, 4 Februari- Fasa pertama Gurney Bay yang dibina atas tanah tebus guna melibatkan kos RM221 juta di Pulau Pinang, kini sudah pun dibuka kepada orang ramai.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, keunikan Gurney Bay adalah persiaran yang terletak betul-betul di sebelah laut dengan permandangan pantai.

Fasa pertama taman itu menampilkan pelbagai kemudahan antaranya taman permainan, taman untuk sukan luncur, kiosk, tandas dan tempat letak kereta terbuka yang meliputi lebih 27 ekar.

Sebagai usaha untuk mencantikkan lagi permandangan pada masa akan datang, ribuan pokok juga telah ditanam.

"Fasa pertama sudah ditanam 1,500 batang pokok manakala 3,041 lagi akan ditanam bawah fasa dua. Sebanyak 10,000 pokok renek telah pun ditanam pada fasa satu dan kita jangka dalam dua, lima sehingga 10 tahun wajah Gurney Bay akan bertukar kerana dengan kematangan pokok-pokok tersebut, maka akan wujudkan suasana yang berbeza,"katanya.

Tambahnya, fasa satu Gurney Bay mengambil masa kira-kira satu tahun tujuh bulan untuk disiapkan selepas pecah tanah pada 14 Mei 2022.

Fasa kedua akan menampilkan kemudahan seperti tempat letak kereta bertingkat, pusat penjaja, sudut pandang, jeti teksi air, tandas, pantai dan laluan laluan, taman air, kawasan komersial dan runcit, dan lebih banyak tempat letak kereta terbuka.

Beliau ditemui selepas mengadakan temu mesra bersama Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak di Gurney Bay sebagai tanda pembukaan rasminya hari ini.

Komponen Fasa Satu dan Fasa Dua meliputi keluasan kira-kira 40 ekar.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE