
KUCHING, 21 Jun – Sambutan Gawai Dayak kini bukan sekadar perayaan tradisi masyarakat Dayak, malah telah berkembang menjadi simbol perpaduan dan keharmonian rakyat Sarawak yang berbilang kaum, agama dan budaya.
- Sejak pengisytiharan rasmi 1965, Gawai Dayak terus memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat negeri.
- Program besar seperti Bazaar dan Ethnocultural Festival menarik hampir 110,000 pengunjung serta hasil jualan hampir RM2.5 juta.
- Kerjasama agensi kerajaan dan NGO, serta peruntukan RM2 juta (Sarawak) dan RM1 juta (Pusat), memacu pemeliharaan warisan dan pelancongan.
Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, sejak disambut secara rasmi pada tahun 1965, Gawai Dayak terus memainkan peranan penting dalam memperkukuh keharmonian dan semangat kebersamaan rakyat negeri ini.
“Sambutan tersebut lahir daripada usaha pemimpin dan pejuang budaya Dayak yang mahu mewujudkan satu platform perayaan bersama bagi menyatukan komuniti Dayak di Sarawak,” katanya.
Beliau selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Sambutan Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 berkata demikian pada Majlis Makan Malam Gawai Dayak Peringkat Sarawak 2026 di sini malam tadi.
Tahun ini, masyarakat Iban dipilih sebagai tuan rumah sambutan peringkat negeri yang menyaksikan pelbagai acara utama berlangsung sejak Mei lalu.
Antaranya Program Gawai Dayak Bazaar dan Ethnocultural Festival di Miri yang berjaya menarik hampir 110,000 pengunjung serta merekodkan hasil jualan hampir RM2.5 juta.
Program berkenaan menampilkan pelbagai aktiviti kebudayaan termasuk pertandingan sape, ngajat, betabuh, kuntau, tarian tradisional, pertandingan ratu cantik serta jualan kraf tangan dan makanan tradisional masyarakat Dayak.
Selain itu, program Niti Daun yang berlangsung di Tebingan Kuching pada 20 Jun lalu turut mendapat sambutan memberangsangkan dengan penyertaan 99 kontinjen dan 15 kenderaan berhias melibatkan kira-kira 3,000 peserta dari seluruh Sarawak serta Sabah.
Tambah Datuk Dr Penguang, kejayaan penganjuran Sambutan Gawai Dayak 2026 membuktikan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Dayak mampu menghasilkan program berskala besar yang memberi manfaat kepada masyarakat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak yang menyalurkan peruntukan RM2 juta bagi menjayakan sambutan tersebut serta Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang menyumbang RM1 juta.
“Sokongan berterusan daripada kedua-dua kerajaan penting dalam memastikan warisan budaya masyarakat Dayak terus dipelihara, sekali gus menyumbang kepada pembangunan pelancongan dan ekonomi negeri,” katanya lagi.