fb fb fb fb fb

Gudang simpan perkakasan terbakar, dua cedera

FOTO Bomba

BUKIT MERTAJAM, 30 Disember - Dua pekerja sebuah gudang penyimpanan perkakasan di Jalan Permatang Janggus, Permatang Pauh di sini cedera dengan seorang daripadanya melecur 70 peratus akibat kebakaran, pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, mangsa yang melecur ialah seorang lelaki warganegara Myanmar berusia 50 tahun manakala wanita tempatan berusia 30 tahun hanya cedera ringan.

“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.05 pagi memaklumkan terdapat sebuah gudang yang dianggar terbakar 80 peratus.

“Sebanyak 41 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Penanti, Perai, Bandar Perda, Bertam dan Sungai Bakap digegaskan ke lokasi bagi memadam kebakaran dengan dibantu pasukan bomba sukarela,” katanya.

Jurucakap itu berkata kebakaran turut memusnahkan dua lori, tiga kereta serta dua motosikal.

Kebakaran itu, katanya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada 1.20 tengah hari dan operasi tamat pada 6.45 petang manakala jumlah kerugian serta punca kebakaran sedang disiasat.

TETITIA YUSOFF