KUALA LUMPUR, 19 Mac – Seramai 93,094 graduan telah menamatkan pengajian dalam program Diploma di Kolej Vokasional (KV), melebihi sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025 iaitu 90,000 graduan.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) memenuhi keperluan industri semasa dan masa hadapan.
“KPM memperluaskan akses TVET kepada pelbagai peringkat murid, termasuk membolehkan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pengajian dalam program Diploma di Kolej Vokasional.
"Kadar kebolehpasaran graduan Diploma KV menunjukkan peningkatan progresif dengan 99.16 peratus pada tahun 2022, 99.38 peratus pada tahun 2023, dan 99.91 peratus pada tahun 2024," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Nelson W Angang di Dewan Negara.
Selain itu, Kah Woh berkata, KPM turut memberi penekanan kepada pembangunan infrastruktur serta kandungan digital bagi memperkukuh Pendidikan Digital di negara ini.
Dalam usaha meningkatkan kompetensi guru Bahasa Melayu, KPM juga telah melaksanakan Ujian Penguasaan Bahasa Melayu Guru (UPBMG) sejak 2022, khususnya bagi guru bukan opsyen.