Geran Agropreneur Nextgen sedia bantuan sehingga RM50,000

FOTO RTM

KUALA PERLIS, 9 Januari – Seramai 32 orang belia tempatan di Kampung Wai, Kuala Perlis yang berminat untuk menceburi bidang pertanian menyertai sesi Taklimat Geran Agropreneur Nextgen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bantuan Geran Agropreneur Nextgen sehingga RM50,000 ditawarkan untuk belia menceburi sektor pertanian.
  • Proses permohonan dipermudah dan dibuka sepanjang tahun untuk memudahkan akses geran.
  • Program memberi pendedahan tentang syarat kelayakan, permohonan, bimbingan teknikal dan sokongan Jabatan Pertanian.
  • Inisiatif bertujuan galakkan belia anggap pertanian sebagai perniagaan mampan dan sumber peluang ekonomi.

Inisiatif Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) itu menyediakan bantuan sehingga RM50,000 serta proses permohonan yang dipermudah dan dibuka sepanjang tahun ini.

Menurut Pengerusi Kelab Belia Perpaduan Bandar Kangar, Mohd Jeffry Hassan, melalui taklimat itu, para peserta diberi pendedahan mengenai peluang geran yang ditawarkan oleh kerajaan menerusi program Agropreneur Muda Nextgen termasuk proses permohonan, syarat kelayakan, serta bimbingan teknikal dan sokongan yang disediakan oleh Jabatan Pertanian.

“Penganjuran program ini bertujuan menggalakkan lebih ramai generasi muda menceburkan diri dalam sektor pertanian sebagai satu bidang kerjaya yang berpotensi tinggi dan memperkukuh keterjaminan makanan negara.

“Belia juga digesa untuk melihat pertanian bukan sahaja sebagai pekerjaan, tetapi juga sebagai satu bentuk perniagaan yang mampan dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara,” katanya menerusi kenyataan.

Kelab Belia Perpaduan berharap usaha seperti itu akan terus memupuk minat belia terhadap pertanian moden dan seterusnya melahirkan lebih ramai usahawan tani muda di negeri terbabit.