
KUALA LUMPUR, 15 September – Program Keusahawanan Gen Z Biz Challenge 2026 merupakan inisiatif baik dalam memberi pendedahan mengenai dunia keusahawanan secara praktikal kepada generasi muda.
- Selaras dengan PPTM 2026-2035, program memupuk kemahiran keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
- Program membuka ruang praktikal kepada pelajar kreatif termasuk bukan pelajar cemerlang akademik untuk membangunkan idea serta kemampuan dan jiwa keusahawanan.
- Kemenangan Kolej Komuniti Sik menunjukkan kolej komuniti mampu bersaing; penganjur mahu melahirkan usahawan muda berdaya saing dengan celik kewangan kukuh.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, pendedahan itu selaras dengan Pelan Pendidikan Tinggi Nasional (PPTM) 2026-2035 dalam memupuk kemahiran keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.
Menerusi program itu, KPT mahu mencungkil bakat, di samping membimbing dan mempersiapkan pelajar untuk menceburi dunia perniagaan pada masa akan datang.
“Kita (KPT) membuka ruang pendidikan yang bukan semata-mata tertumpu di kampus universiti, tetapi turut memberi peluang kepada mereka yang mempunyai idea-idea kreatif.
“Mungkin mereka tidak begitu menyerlah dalam bidang akademik, tetapi mempunyai kemahiran, keupayaan keusahawanan dan jiwa keusahawanan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas majlis Kemuncak Gen Z Biz Challenge 2026 di Dewan Lanai Kijang, Bank Negara Malaysia, di sini.
Pada majlis itu, kumpulan perniagaan Meran HQ Resources dari Kolej Komuniti Sik diumum juara keseluruhan dan membawa pulang hadiah wang tunai RM7,000, selain Geran Modal Kerja bernilai RM1,000 serta sijil penyertaan.
Kolej Komuniti Sik mengetepikan peserta dari Politeknik Muadzam Shah, Kolej Komuniti Bandar Darul Aman, Kolej Komuniti Arau dan Politeknik Kuala Terengganu pada peringkat akhir pertandingan, hari ini.
Mengulas mengenai kejayaan Kolej Komuniti Sik, Datuk Seri Dr Zambry berkata, ia membuktikan institusi pendidikan itu mampu bersaing dengan universiti awam, politeknik dan institusi pengajian tinggi lain.
“Alhamdulillah, seperti yang kita saksikan, pemenang pertandingan ini ialah peserta dari Kolej Komuniti Sik.
“Pertandingan ini terbuka kepada semua institusi, termasuk universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.
“Ini membuktikan bahawa institusi pendidikan kemahiran juga mampu melahirkan bakat yang berkualiti dan berdaya saing,” katanya.
Program anjuran Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Simpanan Nasional (BSN), Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) dan KPT itu bertujuan melahirkan usahawan muda yang berdaya saing serta mempunyai tahap celik kewangan yang kukuh.