fb fb fb fb fb

Gaji permulaan doktor paling tinggi dalam skim penjawat awam - Dzulkefly

Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR, 28 Februari- Pelbagai inisiatif disediakan oleh kerajaan untuk menarik minat graduan berkhidmat dalam sektor kesihatan awam negara termasuk tawaran gaji paling tinggi dalam skim perkhidmatan awam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, gaji permulaan bagi pegawai perubatan gred UD41 adalah sebanyak RM5,197.

"Setelah melalui housemanship, mereka adalah dengan gaji permulaan RM5,197. (Ia) jauh lebih tinggi daripada apapun skim-skim perkhidmatan awam yang lain termasuklah PTD (Pegawai Tadbir dan Diplomatik).

"Kita juga telah meningkatkan lantikan tetap seramai 9,822 dalam tahun 2019 hingga 2023 dan kita meramalkan akan meningkat kepada 6,000 lantikan tetap dalam tempoh 2024 hingga 2025," katanya menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr. Alias Razak di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebanyak 54 peratus daripada 100,696 pegawai perubatan meninggalkan sektor perkhidmatan awam pada 2022 atas faktor menerima tawaran untuk berkhidmat di sektor swasta atau badan berkanun.

Dzulkefly berkata, menerusi kajian yang dibuat, didapati 45 peratus daripada jumlah itu bekerja di luar negara.

"Selain itu, 28 peratus (meninggalkan perkhidmatan awam) disebabkan alasan peribadi, menerima tawaran berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (enam peratus), melanjutkan pelajaran (2.7 peratus), membuka klinik sendiri (0.8 peratus) dan 0.5 peratus tidak menyatakan sebarang alasan," katanya. 

SITI AISHAH MD ISA