fb fb fb fb fb

Fitnah kasino: 'Mereka ni sepatutnya ganti bilik saya di Sungai Buloh'

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 1 Mei - Mana-mana pihak yang memfitnah kerajaan berkait dakwaan rancangan untuk mengeluarkan lesen bagi pengoperasian kasino di Forest City, Johor patut diambil tindakan undang-undang termasuk hukuman penjara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan pihak berkenaan tiada modal lain dengan memfitnah kerajaan.

Anwar menegaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tidak pernah menyebut kepada beliau minat baginda untuk mengadakan perjudian di Forest City.

"Kemudian senang-senang beri tohmahan -- berikan fitnah sesuka hati mereka.Tak ada modal lain (kononnya) Anwar dah lulus kasino di Johor.

“Apa benda ni? Tak pernah saya dengar. Tidak pernah orang usulkan.

“Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong tidak pernah pun menyebutkan kepada saya minat untuk adakan perjudian di sana.

"Dari mana (tohmahan) ini? Dari penjahat-penjahat sebenarnya. Jadi mereka ini sepatutnya ganti bilik-bilik saya di Sungai Buloh dulu," katanya berseloroh.

Anwar berkata demikian ketika menyelar fitnah beberapa pihak ketika berucap dalam majlis perasmian Sambutan Hari Pekerja 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.

“Kamu singgung raja-raja, (dan) raja-raja itu institusi negara yang kita sanjung dan muliakan.

“Dan ada dalam perlembagaan. Kita ada sistem beraja, tidak bolehlah dijadikan macam orang politik nak serang sesuka hati, (dan ini memang) tidak boleh,” katanya.

Sebelum ini, agensi berita luar negara mendakwa pengasas Berjaya Tan Sri Vincent Tan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Genting Tan Sri Lim Kok Tay sedang berbincang dengan kerajaan berhubung pembukaan sebuah kasino di Forest City, Johor.

Bagaimanapun, Anwar menafikan laporan berita tersebut selain menggesa tindakan sewajarnya terhadap agensi berita berkenaan.

Projek Forest City yang terletak di Gelang Patah itu bermula pada 2015, yang sehingga kini ia mempunyai 28,000 unit kediaman yang telah siap dibina, dengan fokus utama pemaju tertumpu pada pulau buatan pertama seluas 560 hektar.

GRACE AISYAH KEDAYAN