
JOHOR BAHRU, 11 November – Pengguna internet perlu berfikir dan membuat pengesahan terlebih dahulu sebelum bertindak terhadap sebarang mesej, panggilan atau pautan mencurigakan.
- Berhenti, semak dan sahkan setiap mesej atau pautan; jangan berikan kata laluan atau OTP tanpa pengesahan pihak berkaitan.
- Waspada terhadap mesej yang mencipta kecemasan; sindiket guna emosi untuk memaksa tindakan tanpa semakan.
- Muat turun aplikasi hanya dari platform rasmi dan semak tetapan keselamatan serta akses maklumat peribadi.
Langkah itu penting bagi mengelakkan pengguna menjadi mangsa penipuan dalam talian.
Timbalan Ketua Kumpulan Penyelidikan Keselamatan Jaminan Maklumat (IASRG), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Dr. Mohd Zamri Osman berkata, sikap terburu-buru ketika menerima mesej yang meminta maklumat peribadi boleh membuka ruang kepada sindiket penipuan siber.
Menurut beliau, sindiket lazimnya memanipulasi emosi mangsa dengan mewujudkan situasi cemas atau mendesak supaya mereka bertindak tanpa menyemak kesahihan maklumat diterima.
“Kita kena sahkan sama ada maklumat tersebut datang daripada sumber yang sahih ataupun tidak. Sekiranya mesej berkenaan meminta kata laluan atau perkongsian OTP, segera hubungi pihak berkaitan untuk membuat pengesahan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Beliau berkata, amalan berhenti, semak dan sahkan perlu dijadikan prinsip setiap pengguna sebelum mempercayai atau berkongsi sebarang maklumat dalam talian.
Dalam pada itu, aktiviti pemancingan data atau phishing kekal antara ancaman jenayah siber yang memerlukan pengguna sentiasa berwaspada terutama ketika menerima pautan menerusi media sosial, termasuk daripada ahli keluarga dan rakan sekerja.
Pengguna turut dinasihatkan memuat turun aplikasi daripada platform rasmi serta menyemak tetapan keselamatan bagi mengehadkan akses aplikasi kepada maklumat peribadi.
Sebanyak 2,314 kes penipuan dikendalikan Pusat Respons Cyber999 dalam tempoh April hingga Jun lalu.