Dua kajian perkahwinan bawah umur dijangka siap awal 2027

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri/Foto JaPen

KUALA LUMPUR, 11 November – Dua kajian berkaitan isu perkahwinan bawah umur sedang dilaksanakan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan dijangka selesai awal 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kajian menilai keberkesanan pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan dan mengenal pasti faktor risiko serta faktor pelindung perkahwinan bawah umur.
  • Hasil kajian direka untuk menilai pelaksanaan strategi agensi, mengenal pasti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.
  • Keputusan kajian akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan berfokus dan berasaskan bukti serta menetapkan keutamaan bersama agensi berkaitan.
  • Usaha berterusan melalui Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026 hingga 2030 fokus pendidikan, kesihatan, perlindungan dan sokongan keluarga berpendapatan rendah.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kajian itu merangkumi Kajian Penilaian Keberkesanan Pelaksanaan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur 2020–2025 dengan kerjasama UNICEF Malaysia serta Kajian Perkahwinan Bawah Umur di Malaysia: Faktor Risiko, Faktor Pelindung dan Strategi Pencegahan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM).

“Tujuan utama program di bawah pelan ini adalah untuk meningkatkan kesedaran serta mengubah persepsi dan stigma yang dikaitkan dengan isu perkahwinan bawah umur dalam kalangan masyarakat.

“Kajian ini juga direka bentuk untuk menilai pelaksanaan strategi oleh agensi yang terlibat, mengenal pasti faktor risiko dan faktor pelindung, serta meneliti jurang pelaksanaan dan langkah pencegahan yang perlu diperkukuh.

“Hasilnya kelak akan digunakan untuk menentukan tindakan susulan yang lebih berfokus dan berasaskan bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong, di Dewan Rakyat hari ini.

Katanya, hasil kedua-dua kajian akan menjadi asas kepada KPWKM untuk menetapkan keutamaan tindakan bersama agensi berkaitan, termasuk meneliti keperluan sumber bagi memperkukuh usaha pencegahan.

Tambah beliau, sementara menunggu kajian dimuktamadkan, usaha menangani perkahwinan kanak-kanak diteruskan menerusi Dasar Kanak-Kanak Negara dan Pelan Tindakan 2026 hingga 2030.

Nancy berkata, tumpuan kerajaan turut merangkumi akses dan pengekalan kanak-kanak perempuan dalam pendidikan, maklumat serta perkhidmatan kesihatan bersesuaian.

Ia juga meliputi perlindungan daripada keganasan dan eksploitasi, selain sokongan kepada keluarga yang berdepan kesukaran sosioekonomi bagi mengurangkan faktor risiko perkahwinan kanak-kanak.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.