PUTRAJAYA, 9 November - Festival Idea Putrajaya 2024, platform memartabatkan pendidikan tinggi dan memperkukuh imej Malaysia sebagai pusat kecemerlangan wacana intelektual dan inovasi.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata festival tersebut akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini pada 27 hingga 29 November ini.
Dalam pada itu, festival berkenaan akan menghimpunkan antaranya pakar, pembuat dasar, ahli akademik, industri dan masyarakat umum untuk membincangkan idea-idea inovatif serta penyelesaian terhadap cabaran semasa.
“Festival ini juga dianjurkan untuk mengembalikan kegemilangan budaya ilmu dan melahirkan masyarakat yang menghargai ilmu.
“Kita juga akan berkongsi dengan masyarakat dunia dan merangka masa depan negara melalui The Malaysian Success Story dan mengangkat Putrajaya sebagai City of Ideas,” katanya pada majlis Jerayawara Festival Idea Putrajaya 2024 di sini hari ini.
Teks ucapan Zambry dibacakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zaini Ujang.