fb fb fb fb fb

Feri terkandas lebih 5 jam akibat kerosakan enjin

Feri dari Kuala Kedah selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada pukul 11.44 malam tadi

KUALA KEDAH, 11 Julai - Seramai 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas lebih lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah selepas feri yang dinaiki mengalami kerosakan, lewat petang semalam.

Ia berpunca daripada kerosakan dua enjin.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom berkata insiden itu berlaku beberapa minit selepas feri berlepas dari terminal di Kuala Kedah, kira-kira pukul 6.45 petang.

Ketika tiba di kedudukan sekitar 7.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah, enjin feri terhenti secara mengejut.

Beliau berkata, beberapa kakitangan teknikal bagaimanapun dapat memperbaiki satu enjin dan feri dapat berfungsi semula.

Pihaknya mengambil keputusan untuk meneruskan perjalanan ke Langkawi dengan menggunakan satu enjin sambil diiringi dan dipantau sebuah bot penunda.

Ia sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kemungkinan yang boleh membahayakan nyawa penumpang dan krew feri.

Keputusan itu dibuat selepas mengambil kira paras air di Kuala Kedah yang cetek di bawah 1.2 meter dan tidak selamat untuk perjalanan yang mendedahkan feri berisiko tinggi tersangkut pada beting pasir.

Feri berkenaan yang bergerak pada kelajuan 9.6 knot selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada pukul 11.44 malam tadi.

Jelas Kapten Baharin, pihak konsortium turut mengagihkan bekalan makanan dan minuman kepada para penumpang yang dibawa menggunakan bot penunda dari Kuala Kedah.

GRACE AISYAH KEDAYAN