Fasa peralihan monsun bermula 29 Mac hingga Mei – MET Malaysia

Foto Hiasan/RTM

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) memaklumkan Fasa Peralihan Monsun dijangka bermula pada 29 Mac 2026 dan akan berterusan sehingga Mei depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Angin lemah dari pelbagai arah menggalakkan pembentukan awan ribut petir menyebabkan hujan lebat dan angin kencang.
  • Fenomena berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
  • Orang ramai dinasihatkan berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca semasa fasa peralihan monsun.
  • Sila rujuk laman rasmi MET Malaysia, aplikasi myCuaca, media sosial atau hubungi Hotline 1-300-22-1638 untuk maklumat lanjut.

Ketua Pengarah MET Malaysia Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, permulaan fasa ini menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut 2025/2026 yang telah melanda negara sejak 13 November tahun lalu.

“Semasa tempoh peralihan ini, negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang menggalakkan pembentukan awan ribut petir yang membawa kepada kejadian hujan lebat dan angin kencang”, katanya dalam satu kenyataan media.

Tambah beliau lagi, fenomena ini juga berpotensi untuk menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Dr Hisham mensihati orang ramai untuk berwaspada dan peka dengan keadaan cuaca semasa fasa peralihan monsun ini.

Orang ramai juga boleh merujuk ramalan kaji cuaca terkini yang dikeluarkan MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi myCuaca serta media sosial MET Malaysia ataupun menghubungi Hotline 1-300-22-1638 untuk sebarang pertanyaan lanjut.