Fasa 1A Lebuhraya Pan Borneo Sabah dijangka siap suku pertama 2027

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Fasa 1A Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dijangka siap suku pertama tahun depan, manakala Fasa 1B pula diunjur siap pada suku keempat 2028.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fasa 1A melibatkan 15 pakej sejauh 318 km dengan kemajuan sebenar 86.6 peratus dan dijangka siap suku pertama 2027.
  • Pakej 1B merangkumi 19 pakej 388 km, kemajuan sebenar 13.56 peratus dan dijangka siap suku keempat 2028.
  • JKR Sabah beri amaran akan menukar kontraktor yang gagal menyelenggara jalan dengan baik.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan setakat Januari 2026, Fasa 1A membabitkan 15 pakej sejauh 318 kilometer dengan 86.6 peratus telah selesai.

“Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah pakej 1A ,15 pakej 318 kilometer, jadual 97.55 peratus sebenar apa yang berlaku di atas tanah 86.6 peratus, di jangka siap pakej 1A ini suku pertama 2027.

“Pakej 1B, 19 pakej kerja 388 kilometer, jadual 19.6 peratus, sebenar 13.56 peratus dan di jangka siap pada suku keempat 2028”, katanya di Dewan Rakyat.

Penyataan tersebut bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau.

Beliau turut beri amaran terhadap kontraktor projek Lebuhraya Pan Borneo yang gagal menyelenggara jalan dengan baik. Tegasnya, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah berhak menukar kontraktor lain untuk menjalankan kerja penyelenggaraan tersebut.