Kemajuan pelaburan Google AS$2 bilion melebihi jangkaan awal, berjalan lancar

Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 26 Februari – Pelaburan strategik Google bernilai AS$2 bilion (RM9.4 bilion) di Malaysia dijangka menjana impak ekonomi berjumlah US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaburan strategik Google AS$2 bilion di Malaysia melibatkan pembinaan pusat data dan perkhidmatan awan pertama negara.
  • Pelaburan dijangka menjana impak ekonomi US$3.2 bilion dan mewujudkan 26,500 peluang pekerjaan menjelang 2030.
  • Kerajaan memudahkan pelaksanaan pelaburan dengan sokongan dan galakan untuk pelaburan tambahan di masa hadapan.
  • Inisiatif ini menyokong matlamat Malaysia menjadi hab serantau bagi aliran data, pengkomputeran awan dan inovasi AI.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pelaburan yang diumumkan pada Mei 2024 itu menunjukkan kemajuan yang pesat dan melebihi jangkaan awal.

Perkembangan positif itu dimaklumkan Presiden dan Ketua Pegawai Pelaburan Alphabet & Google, Ruth Porat dalam sidang video bersama Datuk Seri Anwar.

“Kerajaan kekal konsisten dalam memudah cara serta menyediakan platform sokongan yang diperlukan bagi memastikan pelaburan yang diumumkan dapat dilaksanakan dengan pantas dan berkesan.

“Dalam semangat ini, saya mengalu-alukan Google untuk terus meneroka peluang pelaburan tambahan di Malaysia pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook selepas mengadakan sidang video berkenaan.

Pelaburan Google itu merangkumi pembinaan dan pengoperasian pusat data serta perkhidmatan awan Google yang pertama di Malaysia.

Jelas Datuk Seri Anwar, pelaburan strategik ini adalah manifestasi keyakinan berterusan terhadap ekosistem ekonomi digital negara.

Ini selari dengan aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai hab serantau bagi aliran data yang selamat, pengkomputeran awan dan inovasi kecerdasan buatan (AI).

Pada 2024, Google mengumumkan komitmen pelaburan sebanyak RM9.4 bilion di Malaysia merangkumi pembangunan pusat data pertamanya dan wilayah Google Cloud untuk memenuhi permintaan meningkat terhadap perkhidmatan awan pada peringkat tempatan dan global serta program literasi AI untuk pelajar dan pendidik di negara ini.