
KUANTAN, 9 Februari – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan penyertaan 2,400 pelajar di 12 lokasi seluruh negara menerusi Program New Breed Marketing Entrepreneur (NBME) Explorace 2026.
- FAMA sasar penyertaan 2,400 pelajar di 12 lokasi melalui NBME Explorace 2026.
- Program bertujuan melahirkan usahawan muda mahir pemasaran digital dan strategi perniagaan.
- Program dua hari termasuk perkongsian tujuh usahawan untuk panduan praktikal dan jaringan industri.
- Kolaborasi FAMA dengan fakulti dan unit keusahawanan UCYP bagi kembangkan bakat pelajar.
Pengarah FAMA Pahang, Rashiha Mamat berkata program itu bertujuan membentuk usahawan muda yang mahir dalam pemasaran digital dan strategi perniagaan.
Bagi penganjuran di Kuantan, seramai 200 pelajar UCYP University dipilih menyertai program edisi kelapan tersebut.
“Yang penting ini adalah langkah permulaan pelajar untuk terlibat dalam pemasaran digital. Sebab itu kita panggil explorace, maknanya kita wujudkan pertandingan antara pelajar dan pada akhir sesi bulan Jun nanti kita akan umum siapa yang mencatat jualan tertinggi,” katanya.
Program dua hari itu turut melibatkan perkongsian pengalaman tujuh usahawan bagi memberi panduan praktikal serta membina rangkaian pemasaran antara pelajar dan industri.
Beliau berkata inisiatif tersebut diharap dapat melahirkan generasi pencipta pekerjaan di samping memperkukuh kemahiran pemasaran digital pelajar serta meningkatkan jaringan usahawan Agrobazar Online.
Sementara itu, Naib Canselor UCYP University, Profesor Datuk Dr. Muhammad Fauzi Mohd Zain berkata program itu hasil kerjasama FAMA bersama fakulti dan unit keusahawanan universiti dalam mengembangkan bakat keusahawanan pelajar.
“Program ini kerjasama FAMA dengan fakulti teknologi, reka bentuk dan pengurusan, selain unit keusahawanan UCYP. Kedua-dua entiti ini memainkan peranan penting untuk mengembangkan bakat keusahawanan pelajar dan kami berterima kasih kepada FAMA atas peluang tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program NBME Explorace 2026 di UCYP University, Kuantan.