Fahami, peka dan semak sebelum kibar Jalur Gemilang – Aaron

Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara yang wajib dihormati seluruh rakyat Malaysia/ Foto FB Aaron Ago Dagang

KUALA LUMPUR, 5 September – Rakyat Malaysia perlu lebih peka dan membuat semakan bagi memastikan tatacara penggunaan serta pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul sebelum mengibarkannya.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jalur Gemilang lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan; wajib dihormati semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.
  • Kementerian Perpaduan akan meningkatkan pendedahan mengenai tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang melalui Rukun Tetangga dan Sekretariat Rukun Negara.
  • Kesilapan tidak disengajakan gunakan sebagai peluang mendidik; tindakan menghina lambang negara akan ditangani mengikut undang-undang.
  • Pengguna media sosial dan pembuat kandungan mesti menyemak imej, termasuk janaan AI, bagi mengelakkan kesilapan pada bendera.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Jalur Gemilang ialah lambang kedaulatan, maruah dan perpaduan negara yang wajib dihormati seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau fahaman politik.

“Bendera negara membawa identiti, sejarah serta kebanggaan kita sebagai negara merdeka dan berdaulat. Jangan takut untuk mengibarkan Jalur Gemilang. Namun, sentiasa faham, peka dan semak sebelum mengibarkannya,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Menurut beliau, Kementerian Perpaduan Negara menerusi Kawasan Rukun Tetangga dan Sekretariat Rukun Negara akan mempertingkatkan pendedahan serta kesedaran masyarakat mengenai tatacara penggunaan dan pemasangan Jalur Gemilang yang betul.

Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan mengelakkan kesilapan daripada berulang, malah membina kefahaman dan menyemarakkan semangat patriotik, khususnya dalam kalangan generasi muda.

Tegas beliau, kesilapan yang tidak disengajakan wajar dijadikan ruang untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran, manakala tindakan disengajakan untuk menghina atau memperlekehkan lambang negara perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang.

Prinsip yang sama perlu diterapkan dalam penggunaan Jalur Gemilang di media sosial, termasuk kandungan janaan kecerdasan buatan (AI).

Penggunaan teknologi AI yang semakin meluas masih berupaya menghasilkan imej tidak tepat, termasuk kesilapan pada bilangan jalur, susunan warna, bulan dan bintang atau kedudukan bendera.

“Sehubungan itu, setiap pengguna mempunyai tanggungjawab untuk menyemak kandungan sebelum diterbitkan atau dikongsikan. Teknologi harus membantu menyemarakkan patriotisme, bukan menjadi alasan untuk kita mengabaikan ketepatan lambang negara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa Jalur Gemilang tertakluk bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, yang antara lain memperuntukkan perbuatan seperti mengibarkan bendera secara terbalik sebagai kesalahan menghina bendera.

Sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM20,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.