fb fb fb fb fb

Enam studio khas diwujudkan galak digitalisasi perniagaan PMKS

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Ewon Benedict/ Foto Facebook KUSKOP

SUNGAI SIPUT, 13 Januari- Sebanyak enam studio khas akan diwujudkan bagi menggalakkan digitalisasi perniagaan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Usaha itu digerakkan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN Nasional) dengan kerjasama TikTok Malaysia.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Ewon Benedict berkata, inisiatif itu merupakan projek perintis yang akan dimulakan pada tahun ini melibatkan empat studio di Semenanjung dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak.

"Usahawan-usahawan ini boleh datang ke studio ini untuk memasarkan perkhidmatan atau pun produk mereka. Pada bulan hadapan, saya akan merasmikan studio yang pertama ini di Sabah. Jadi, di peringkat kementerian khusus melalui agensi-agensi, kita sentiasa mendengar keperluan-keperluan rakyat mencari ilham-ilham baharu yang sesuai untuk memberikan nilai tambah kepada perkhidmatan sedia ada oleh agensi-agensi", katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pejabat TEKUN Nasional Cawangan Sungai Siput.

Hadir sama pada majlis berkenaan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed, Pengerusi TEKUN Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

ROSLINA BINTI DIN