
PUTRAJAYA, 25 Februari– Kerajaan menetapkan enam fokus besar sebagai teras baharu memerangi gejala dadah pada tahun ini, susulan data terbaharu menunjukkan rampasan dadah melonjak lebih lapan kali ganda dan ancaman sindiket semakin kompleks, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
- Penggubalan semula Dasar Dadah Negara untuk kekal relevan dengan ancaman dadah semasa dan masa hadapan.
- Pelaksanaan Pelan Komunikasi Antidadah bersepadu sebagai gerakan nasional melibatkan seluruh masyarakat.
- Pengukuhan pencegahan komuniti melalui Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah, SKUAD Antidadah dan SKUAD Junior.
- Pemerkasaan rawatan tanpa stigma, pengembangan TVET, dan penggunaan teknologi digital serta AI untuk pengurusan data dadah.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKDM) berkata enam fokus itu merangkumi kajian dan penggubalan semula Dasar Dadah Negara, gerakan komunikasi nasional antidadah, pengukuhan pencegahan komuniti, rawatan tanpa stigma, penggunaan teknologi digital serta pemerkasaan perjawatan antidadah.
“Pendekatan strategik itu penting untuk memastikan pelaksanaan Arahan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim No. 1 Tahun 2024 berkaitan jentera penyelarasan Dasar Dadah Negara dapat diperkuat merentas peringkat persekutuan, negeri dan daerah,” katanya menerusi satu kenyataan.
Beliau berkata usaha membanteras gejala dadah tidak lagi boleh bersifat linear, sebaliknya memerlukan tindakan lebih dinamik, responsif dan berteraskan data kerana ancaman hari ini semakin kompleks serta memberi implikasi langsung terhadap keselamatan, kesihatan awam dan kos sosial negara.
Timbalan Perdana Menteri berkata data 2025 menunjukkan nilai rampasan dadah dan racun mencecah RM3.19 bilion, jauh lebih tinggi berbanding RM388.07 juta pada 2024, melibatkan 89 tan dadah dan 132 tan bahan racun, dengan methamphetamine kekal sebagai bahan paling banyak dirampas iaitu lebih 51 tan.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata trend berkenaan menunjukkan Malaysia terus berdepan ancaman agresif sindiket rentas sempadan.
Laporan Penyalahgunaan Dadah dan Bahan 2025 turut merekodkan 191,832 individu terlibat, bersamaan kadar prevalens 560 bagi setiap 100,000 penduduk dengan Selangor mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 25,475 orang.
Daripada jumlah keseluruhan, 53.2 peratus kes dikesan melalui tangkapan penguatkuasaan manakala 40 peratus melibatkan klien rawatan serta pemulihan dalam komuniti.
“Trend ini membuktikan isu dadah bukan sahaja berkaitan jenayah tetapi turut menjadi isu kesihatan awam dan kesejahteraan sosial, justeru kerajaan melakukan pindaan terhadap Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 bagi mengukuhkan peralihan kepada pendekatan rawatan, pemulihan dan pemulangan fungsi sosial,” katanya.
Beliau berkata enam fokus yang digariskan kerajaan bagi tahun ini merangkumi kajian dan penggubalan semula Dasar Dadah Negara agar kekal relevan dengan ancaman semasa dan masa hadapan; pelaksanaan Pelan Komunikasi Antidadah secara bersepadu sebagai gerakan nasional; serta pengukuhan pencegahan berasaskan komuniti melalui Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah, pemerkasaan SKUAD Antidadah dan pengenalan SKUAD Junior.
Ia turut merangkumi pemerkasaan rawatan dan pemulihan secara sukarela termasuk peluasan akses tanpa stigma, pengembangan latihan kemahiran serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET); penggunaan teknologi digital serta kecerdasan buatan seperti sistem e-SMART, MySupport dan pembangunan Pusat Data Dadah Negara; selain pengukuhan perjawatan Skim Antidadah termasuk menaik taraf Pusat Latihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kepada Akademi AADK sebagai pusat kecemerlangan latihan.
Timbalan Perdana Menteri berkata kejayaan membanteras dadah tidak boleh digalas oleh satu agensi sahaja, sebaliknya memerlukan tindakan bersepadu seluruh kerajaan serta penyertaan masyarakat secara menyeluruh.
“Setiap kementerian dan pihak berkepentingan perlu memainkan peranan jelas merangkumi aspek pencegahan sosial, pendidikan, kesihatan, kebajikan, pembangunan belia, perumahan dan peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata pendekatan keseluruhan kerajaan atau whole-of-government dan keseluruhan negara atau whole-of-nation mesti diterjemahkan dalam bentuk tindakan konkrit, terukur dan berterusan bagi memastikan usaha memerangi gejala dadah benar-benar dilaksanakan secara holistik dan berperikemanusiaan.
Kerajaan, katanya, kekal komited memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan masa depan negara melalui tindakan strategik yang berasaskan pembuktian dalam menangani isu dadah yang semakin mencabar.