KULAI, 13 Julai - Enam kampus Kolej Teknologi Termaju Jabatan Tenaga Manusia (ADTEC JTM), dipilih melaksanakan projek perintis Proof of Concept (PoC) kelas pintar dan digital.
Projek tersebut hasil kerjasama strategik Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn. Bhd. (Huawei Malaysia).
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, PoC Kelas Pintar ADTEC JTM Kampus Senai, akan berperanan sebagai pusat rujukan bagi projek enam bulan itu.
"Proof of Concept peringkat pertama ini mengambil masa enam bulan, kita akan memberikan latihan kepada tenaga pengajar kita.
"Jadi dalam masa dua hari yang lepas ada kira-kira 40 orang tenaga pengajar bawah JTM telah mengikuti kursus ini supaya mereka boleh faham bagaimana menggunakan sistem ini dan keseluruhan tempoh Proof of Concept ialah enam bulan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Peluncuran Inisiatif Bilik Kuliah Pintar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di ADTEC JTM Kampus Senai, di sini.
Manakala lima lagi kelas digital di Kampus Pasir Gudang, Johor Bahru; Pedas, Negeri Sembilan; Selandar, Melaka; Perai, Pulau Pinang dan Jerantut, Pahang.
Pihaknya akan mempertimbangkan untuk menawarkan kursus bahasa seperti bahasa Inggeris, bahasa Arab dan lain-lain, sebagai nilai tambah kebolehpasaran graduan, selepas tamat pengajian.