BANGI, 17 Jun - Empat prinsip utama merangkumi kepimpinan dan tadbir urus, prestasi dan pembangunan bakat, teknologi dan pendigitalan serta kesejahteraan dan penglibatan warga harus dijadikan pegangan warga Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, konsep tiga I iaitu iaitu Integriti, Ikhlas dan Islah juga perlu kekal diamalkan ke arah memperkasa budaya kerja berprestasi tinggi dan memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan awam secara holistik.
"Kepimpinan dan tadbir urus adalah bukan sekadar jawatan, tetapi tentang tanggungjawab. Kita semua juga ada ruang untuk terus belajar dan berkembang menerusi prinsip prestasi dan pembangunan bakat.
"Prinsip teknologi dan pendigitalan menjadikan perkhidmatan kita lebih cekap dan mesra rakyat dan prinsip kesejahteraan dan penglibatan warga penting kerana pasukan yang saling menyokong akan hasilkan kerja yang berkualiti," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) KPWKM 2024, di sini.
Pada masa sama, Datuk Seri Nancy turut menyeru warga KPWKM menerapkan penghayatan terhadap nilai HEMAT dalam penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
"Saya percaya kita mampu hayati nilai HEMAT iaitu Hijrah Tatakelola, Empati Rakyat, Minda Pekin, Apresiasi, Inovasi dan Tadbir Urus Telus dalam setiap tindakan kita.
"Kadangkala, tindakan sekecil menjawab panggilan dengan sopan pun memberi kesan besar kepada imej kementerian kita," katanya.
Pada majlis tersebut, seramai 646 warga KPWKM diraikan dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat mencatatkan bilangan penerima tertinggi iaitu 525 termasuk lapan orang kurang upaya diikuti 72 daripada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara, 19 daripada Jabatan Pembangunan Wanita serta enam daripada Institut Sosial Malaysia.