Empat individu didakwa esok atas pertuduhan kes provokasi agama dan kaum – KPN

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dalam sidang media di ibu negara – Foto RTM

KUALA LUMPUR, 16 Mac – Empat individu iaitu Zamri Vinoth, Tamim Dahri, P. Mahendra dan Arun Dorasamy akan didakwa esok berkaitan kes provokasi agama dan kaum.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan selesai; kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum pertuduhan dikeluarkan.
  • PDRM mengambil tindakan tegas untuk mengekalkan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat majmuk negara.
  • Pertuduhan termasuk perhimpunan provokatif, merosakkan simbol keagamaan; sabitan bawah Seksyen 505(b) dan 295 boleh membawa hukuman penjara atau denda.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mengesahkan, siasatan terhadap kesemua individu terbabit telah selesai dan kertas siasatan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara sebelum arahan pertuduhan dikeluarkan.

Menurut beliau, tindakan tegas diambil bagi memastikan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat majmuk negara terus terpelihara.

“PDRM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat keselamatan dan keharmonian negara melalui sentimen perkauman atau
keagamaan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Antara pertuduhan dikenakan termasuk kes menganjurkan perhimpunan berunsur provokatif, merosakkan simbol keagamaan, serta mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan kegentaran awam.

Kes-kes berkenaan akan dibicarakan secara berasingan di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, Langkawi Kedah, Seremban, Negeri Sembilan dan Jawi, Pulau Pinang bermula pukul 9 pagi, 17 Mac (esok)

Sabit kesalahan mengikut Seksyen 505(b) dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan, setiap tertuduh boleh berdepan hukuman penjara maksimum sehingga
dua tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai dinasihatkan agar tidak mencampuri atau mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang berjalan.

Ketua Polis Negara turut menegaskan, bahawa siasatan dijalankan secara profesional berdasarkan laporan polis dan bukti yang diperoleh.

“Pelaksanaan undang-undang dilakukan selaras dengan prinsip pengasingan kuasa antara polis, Jabatan Peguam Negara dan badan kehakiman,” jelasnya.

PDRM menyeru orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan proses perundangan yang sedang berjalan.