fb fb fb fb fb

Empat bot pukat tunda Zon C ditahan ceroboh perairan Pulau Sayak

Empat buah bot pukat tunda Zon C ditahan kerana menceroboh perairan pesisir pantai berhampiran Pulau Sayak, di Daerah Kuala Muda, Kedah

KUALA MUDA, 12 Julai – Empat buah bot pukat tunda Zon C ditahan kerana menceroboh perairan pesisir pantai berhampiran Pulau Sayak, di Daerah Kuala Muda, Kedah.

Tangkapan tersebut dilakukan enam anggota dari Pangkalan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Langkawi dalam satu operasi khas baru-baru ini.

Seramai 16 individu turut diberkas, melibatkan empat nelayan tempatan dan 12 nelayan warga Thailand.

Menurut Pengarah Perikanan Negeri Kedah, Sukri Deris, bot-bot terbabit dikesan beroperasi pada jarak antara 1.8 hingga 6.3 batu nautika dari daratan atau pulau terdekat, sekali gus melanggar syarat kawasan penangkapan ikan yang ditetapkan di bawah peraturan perikanan sedia ada.

“Nilai sitaan ke atas kesemua bot dan peralatan menangkap ikan dianggarkan mencecah RM2 juta. Hasil tangkapan ikan juga telah dirampas dalam operasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

1207 KDH BOT PUKAT TUNDA CEROBOH 2
Foto Ihsan Jabatan Perikanan Negeri Kedah

Kesemua tangkapan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Pejabat Cawangan Konservasi dan Perlindungan Perikanan Kedah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, yang memperuntukkan kesalahan menangkap ikan kurang daripada 15 batu nautika dari pantai.

Sukri turut mengingatkan para nelayan agar tidak menceroboh kawasan berhampiran pantai serta menegaskan kepentingan mematuhi peraturan bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negeri.

“Tindakan pencerobohan seperti ini boleh menyebabkan penurunan drastik sumber perikanan di perairan pesisir, terutama apabila anak-anak ikan turut terperangkap dalam pukat tunda,” ujarnya.

Tambah beliau, kawasan pesisir pantai merupakan kawasan nurseri penting bagi tumbesaran pelbagai spesies marin, dan sebarang pencerobohan boleh menjejaskan usaha jabatan dalam mengurus sumber perikanan secara mampan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN