KUALA LUMPUR, 22 Mac- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menasihatkan pengguna media sosial agar merujuk sumber rasmi bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum membuat sebarang perkongsian.
Beliau menekankan kepentingan menyebarkan informasi yang tepat dan bertanggungjawab bagi mengekalkan keharmonian negara.
"Kita tidak mahu sebarang isu berunsur perkauman tular hingga boleh mengganggu ketenteraman awam.
"Oleh itu, saya menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dalam menerima dan berkongsi maklumat di media sosial serta merujuk sumber rasmi seperti RTM dan Bernama," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Bazar Raya NADI di Sri Pantai di sini hari ini.
Beliau mengulas demikian merujuk kepada beberapa video tular yang tidak lengkap dan menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.