fb fb fb fb fb

Pembangunan ekonomi, kemudahan asas di Sabah perlu seiring - Perdana Menteri

Perdana Menteri mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sabah yang turut disertai Ketua Menteri Sabah, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri/Foto PMO

KOTA KINABALU, 22 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pentingnya pembangunan ekonomi dan penyediaan kemudahan asas di Sabah digerakkan secara seiring demi keselesaan hidup rakyat.

Beliau berkata, keutamaan harus diberi kepada projek bekalan elektrik, pembinaan taman perindustrian, perumahan rakyat serta pembaikan jalan raya.

“Penyediaan kemudahan asas dan pembangunan ekonomi mesti dipacu secara serentak demi keselesaan kehidupan rakyat di negeri Sabah,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau hari ini.

Terdahulu, beliau tiba di Kota Kinabalu untuk menghadiri beberapa urusan rasmi termasuk mempengerusikan Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Sabah yang turut disertai Ketua Menteri Sabah, barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai kanan Kerajaan Persekutuan dan Negeri.

Mesyuarat yang berlangsung di Pejabat Daerah Tuaran itu memberi fokus kepada pelaksanaan projek-projek di bawah Rancangan Malaysia.

Ini termasuk prestasi projek semasa, status projek sakit, permohonan projek keutamaan negeri bagi tahun 2026 dan isu kemiskinan tegar di Sabah.

Menurut beliau, turut dibincangkan ialah status pelaksanaan inisiatif di bawah Program Sabah Maju Jaya (SMJ), Projek SejaTi MADANI, Projek Kampung Angkat MADANI serta status Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan permohonan tambahan bagi kerja-kerja pembaikan jalan di seluruh negeri.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah dan jentera pentadbiran negeri atas semangat kerjasama yang utuh dalam menjayakan agenda pembangunan dan kestabilan politik di Sabah.

"Sekalung penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah dan seluruh jentera pentadbiran negeri serta semua kepimpinan masyarakat setempat yang telah menjunjung kebersamaan amat tinggi serta menjalin kerjasama erat dalam memastikan kestabilan politik yang baik agar pembangunan ekonomi serta tarikan pelaburan dapat dilaksanakan dengan jayanya di negeri Sabah ini," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN