350 penunggang e-hailing Lembah Pantai terima tajaan insurans

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyampaikan ucapan dalam Majlis Program Satelit Khas Ihya Ramadan Temumi 2.0 di IWK Eco Park Pantai Dalam hari ini./ Foto BERNAMA

Kuala Lumpur 26 Februari – Seramai 350 penunggang e-hailing di kawasan Lembah Pantai menerima rezeki luar jangka pada bulan Ramadan apabila Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengumumkan tajaan premium insurans di bawah skim Perlindungan Tenang selama setahun.

RINGKASAN BERITA AI
  • Tajaan premium insurans setahun untuk 350 penunggang e-hailing di Lembah Pantai melalui skim Perlindungan Tenang.
  • Kerajaan MADANI tunjuk perhatian kepada pekerja ekonomi gig dan hargai sumbangan penunggang sejak PKP.
  • Selepas tajaan, penunggang boleh sambung perlindungan dengan bayaran RM100 setahun.
  • Cadangan mewujudkan pusat persinggahan khas untuk rehat penunggang; DBKL akan dikendalikan aspek pelaksanaan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata tajaan insurans itu membuktikan Kerajaan MADANI memberi perhatian serius terhadap masa depan pekerja ekonomi gig, termasuk penunggang e-hailing.

“Ini juga sebagai tanda penghargaan saya kepada para riders yang ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu dianggap frontliners. Saya tidak lupa akan sumbangan mereka hingga kini dan saya terus berusaha dengan rakan-rakan kabinet MADANI untuk pastikan masa depan para rider terus cerah,” katanya selepas merasmikan program Satelit Khas: Ihya Ramadan TemuMi 2.0 2026@Lembah Pantai, di sini hari ini.

Beliau berkata selepas tempoh tajaan setahun berakhir, penunggang boleh menyambung perlindungan tersebut dengan bayaran RM100 setahun.

Datuk Fahmi turut berhasrat mewujudkan sebuah pusat persinggahan khas untuk penunggang e-hailing di sekitar Lembah Pantai bagi membolehkan mereka berehat sementara menunggu tempahan seterusnya.

“Saya juga bercadang menubuhkan satu tempat persinggahan bagi para penunggang kerana aduan mereka berkaitan waktu rehat. Kadang-kadang mereka memerlukan ruang untuk menarik nafas sementara menunggu pesanan yang akan datang. Insya-Allah, usaha ini akan dilaksanakan,” katanya.

Menurut beliau, beberapa lokasi telah dikenal pasti dan pihaknya akan berurusan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi meneliti aspek pelaksanaan, termasuk sama ada mendirikan struktur kekal atau sementara.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penunggang e-hailing yang hadir.