KOTA KINABALU, 22 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa penguasaan ilmu dan kemahiran teknologi dalam kalangan generasi muda amat penting bagi memastikan Malaysia terus maju dan berdaya saing di peringkat global.
Beliau berkata, pendidikan yang kukuh termasuk penguasaan bahasa dan subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu diperkasa bagi melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang seperti kejuruteraan dan kepakaran kecerdasan buatan (AI).
“Malaysia boleh tarik pelabur dan pelancong, tapi semua itu tak akan berjaya kalau tenaga kerja kita tidak cukup kemahiran dan kepakaran,” katanya ketika berucap di Majlis Berbuka Puasa MADANI di Padang Istiadat Tuaran, hari ini.
Perdana Menteri turut berpesan kepada golongan pendidik, ibu bapa dan pelajar agar menjadikan sambutan Aidilfitri sebagai masa untuk bermuhasabah serta kembali ke sekolah dengan azam dan semangat baharu.
“Tolong ingatlah pesanan Pak Cik Anwar, kalau anak-anak, Tok Anwar. Sambut raya, minta ampun dengan ibu bapa, tunjukkan kasih sayang. Tapi selepas cuti, kembali ke sekolah dengan gegaran dan semangat baharu,” ujarnya.
Tambah beliau, generasi muda hari ini memegang tanggungjawab besar dalam mengangkat martabat negeri dan negara.
Justeru, pendidikan serta disiplin menjadi kunci utama kejayaan masa depan mereka.