KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 yang akan bermula 24 Mac ini disifatkan sebagai langkah tepat dan strategik kerajaan dalam membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana, khususnya B40 dan M40 berpendapatan RM5,000 ke bawah.
Inisiatif ini dijangka memanfaatkan seramai 8.5 juta penerima dengan jumlah bantuan maksimum sebanyak RM650, sekali gus memberi kelegaan kewangan kepada rakyat menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Bashir Ahmad, peruntukan sebanyak RM1.7 bilion yang disalurkan menerusi STR Fasa 2 bakal merancakkan aktiviti ekonomi negara secara mampan.
“Jumlah ini adalah satu jumlah yang besar, dan akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh golongan-golongan ini untuk tujuan transaksi jual beli. Akhirnya, ia akan dapat membantu kepada pertumbuhan ekonomi domestik negara dengan lebih baik dan mampan,” katanya ketika dihubungi RTM.
Sementara itu, Pensyarah Kanan Universiti Malaya, Dr. Mohamad Idham Md Razak turut berpandangan bahawa bantuan ini bukan sahaja meringankan tekanan kos sara hidup, malah memberi impak ekonomi selepas perayaan.
“Yang paling utama untuk menghadapi pasca Aidilfitri, ia juga secara tidak langsung akan merangsang ekonomi domestik dan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr. Mohd Khairi Ismail dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berkata, kemudahan pembayaran melalui Bank Simpanan Nasional (BSN) memberi kelebihan kepada penerima di kawasan luar bandar.
“Daripada penambahbaikan sistem, kemudahan pembayaran melalui BSN dapat memberi manfaat besar kepada penerima bantuan di luar bandar,” katanya.