Dua misi ke Gaza berbeza, elak kekeliruan – SNCC

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 April – Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) merupakan dua inisiatif berbeza.

RINGKASAN BERITA AI
  • SNCC menegaskan kedua misi berbeza dari segi peranan, saluran pelaksanaan dan fungsi.
  • Misi 30 Kontena melalui laluan darat oleh gabungan NGO, diselaraskan SNCC, bukan sebahagian GSF 2.0, barang tidak dibawa oleh flotila laut.
  • Global Sumud Flotilla 2.0 ialah misi pelayaran antarabangsa melibatkan hampir 100 kapal untuk membawa bantuan dan memecah kepungan laut Gaza.
  • Pelepasan dirancang hampir serentak untuk meningkatkan tekanan antarabangsa, SNCC menekankan laporan tepat supaya usaha kemanusiaan Malaysia difahami dan disokong.

Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) menerusi satu kenyataan menegaskan, penjelasan itu dibuat bagi memastikan maklumat yang disampaikan kepada media dan masyarakat kekal jelas, tepat serta selaras dengan kedudukan sebenar kedua-dua misi.

“Misi Bantuan 30 Kontena Malaysia ke Gaza dan Global Sumud Flotilla 2.0 adalah dua inisiatif yang berbeza dari segi peranan, saluran pelaksanaan dan fungsi,” menurut kenyataan itu.

SNCC memaklumkan, Misi Bantuan 30 Kontena merupakan inisiatif melalui laluan darat yang diusahakan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) dengan sokongan kerajaan Malaysia.

“Misi 30 kontena adalah di bawah koordinasi SNCC dan bukan sebahagian daripada koordinasi GSF 2.0. Tiada barangan dari 30 kontena yang akan dibawa menaiki flotila laut,” jelas kenyataan itu.

Sementara itu, Global Sumud Flotilla 2.0 pula merupakan misi pelayaran antarabangsa melibatkan hampir 100 kapal bagi membawa bantuan serta memecahkan kepungan laut di Gaza.

“Global Sumud Flotilla 2.0 ialah misi pelayaran melalui laut yang menghimpunkan pelbagai inisiatif solidariti antarabangsa untuk memecahkan kepungan laut Gaza,” menurut SNCC.

Menurut kenyataan itu lagi, pelepasan kedua-dua misi dirancang dalam tempoh berdekatan sebagai pendekatan strategik bagi meningkatkan tekanan antarabangsa.

“Kedua-dua misi ini dirancang dengan tarikh berdekatan bagi memberi tekanan strategik, namun kekal sebagai dua inisiatif berasingan yang saling melengkapi,” jelasnya.

Sehubungan itu, SNCC menegaskan sebarang laporan dan hebahan berkaitan kedua-dua misi perlu dibuat secara tepat bagi memastikan usaha kemanusiaan Malaysia terus difahami dan disokong di peringkat antarabangsa.