PUTRAJAYA, 21 Januari – Dua anak kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah mengisytiharkan harta mereka kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk pegangan aset dan saham.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata Tan Sri Mokhzani dan Mirzan telah mengisytiharkan harta masing-masing dengan nilai pengisytiharan sebanyak RM1 bilion dan RM246.2 juta.
“Mereka telah mematuhi permintaan saya dan juga pegawai penyiasat untuk mengesahkan harta yang dimiliki, termasuk pegangan aset, saham, dan sebagainya. Saya berpuas hati dengan pemeriksaan yang telah dijalankan terhadap kedua-duanya,” katanya pada sidang media, di sini.
Menurut Azam, siasatan terhadap perkara tersebut dijalankan di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan, dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Dalam pada itu, SPRM sedang meneruskan siasatan terhadap kes rasuah yang melibatkan Allahyarham Tun Daim Zainuddin dan isterinya, Toh Puan Naimah Abdul Khalid.
Menurut Azam, terdapat petunjuk kewujudan aset di luar negara yang berkaitan kes berkenaan.
“Sekiranya terdapat kesalahan berkaitan siasatan, kami akan membuat permohonan untuk mendapatkan kembali wang tersebut. Namun, usaha ini melibatkan kerangka perundangan berbeza di luar negara, yang menjadi cabaran dalam menyelesaikan siasatan dan memulihkan aset luar negara,” katanya.