
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kerajaan memandang serius laporan mengenai kehadiran kapal penyelidikan asing di kawasan Beting Patinggi Ali dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di luar pesisir Sarawak, yang disifatkan sebagai cabaran terhadap hak kedaulatan negara.
- Kerajaan mengutamakan diplomasi, rundingan dan libat urus bagi menyelesaikan isu keselamatan maritim secara aman.
- Pendekatan selaras prinsip ASEAN, dasar berkecuali dan usaha mengekalkan keseimbangan strategik di rantau.
- Konsep Pertahanan Menyeluruh diperkukuh melalui WOGOS dan pengukuhan Angkatan Simpanan bagi meningkatkan kesiapsiagaan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, walaupun insiden berkenaan tidak melibatkan konflik bersenjata, kerajaan memilih pendekatan diplomasi dan rundingan secara berhati-hati bagi mengelakkan ketegangan di Laut China Selatan daripada terus memuncak.
Beliau menegaskan, dalam menangani pencerobohan mana-mana kapal asing di perairan negara, keutamaan kerajaan adalah memastikan situasi tidak berkembang menjadi konflik yang lebih serius, khususnya melibatkan penggunaan kekuatan ketenteraan.
“Sehubungan itu, Malaysia mengutamakan pendekatan diplomasi melalui libat urus, rundingan dan perbincangan bagi menyelesaikan isu berkenaan secara aman.
“Pendekatan tersebut selaras dengan prinsip ASEAN yang menekankan keamanan, kestabilan dan penyelesaian pertikaian secara damai. Pada masa sama, Malaysia kekal mengamalkan dasar berkecuali serta memastikan wujud keseimbangan strategik di rantau ini.
“Kehadiran pelbagai kuasa besar dan perhatian masyarakat antarabangsa di kawasan tersebut turut berperanan sebagai faktor pencegah, sekali gus mengurangkan risiko berlakunya tindakan yang boleh menggugat keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ahmad Ibrahim di Dewan Negara.
Mengulas lanjut, Datuk Seri Mohamed Khaled berkata pelaksanaan konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH) terus diperkukuh bagi memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi ancaman keselamatan yang semakin kompleks, termasuk ancaman di zon kelabu (grey zone).
Menurut beliau, pertahanan negara bukan lagi menjadi tanggungjawab Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya memerlukan penglibatan menyeluruh pelbagai agensi kerajaan, sektor swasta dan rakyat menerusi pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS).
“Kementerian sentiasa meneliti amalan terbaik negara luar, namun pelaksanaannya disesuaikan dengan keperluan strategik, sistem pentadbiran, kedudukan fiskal dan faktor geografi keselamatan negara.
“Bagi memperkukuh HANRUH, Kementerian Pertahanan turut menetapkan beberapa fokus utama termasuk memperkasakan Angkatan Simpanan dengan sasaran nisbah seorang anggota simpanan bagi setiap seorang anggota tentera tetap menerusi pengukuhan Askar Wataniah serta Pasukan Simpanan TLDM dan TUDM,” katanya.