
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) akan melaksanakan Kajian Pembangunan Dasar Air Pulih Guna (Industri) dalam tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan bagi merangka hala tuju penggunaan air pulih guna di negara ini.
- Kajian akan meliputi analisis teknikal, perundangan, kewangan dan ekonomi untuk pembentukan Dasar Air Pulih Guna bagi sektor industri.
- Dasar disasarkan kepada pelbagai sektor industri selain F&B, termasuk pusat data, semikonduktor dan perkhidmatan pembersihan awam.
- Penilaian akan menentukan keperluan infrastruktur, mekanisme kawal selia kualiti air pulih guna dan model pelaksanaan yang sesuai.
- Sesi libat urus dengan pihak berkuasa negeri, operator air, IWK, agensi dan industri; dapatan menjadi asas rangka pelaksanaan dasar.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, hasil kajian itu akan menjadi asas kepada pembangunan Dasar Air Pulih Guna sebagai panduan kepada pelbagai sektor industri selain industri makanan dan minuman (F&B), termasuk pusat data, industri semikonduktor dan sektor pembersihan awam.
Menurut beliau, kajian berkenaan akan meliputi analisis daripada aspek teknikal, perundangan, kewangan dan ekonomi.
“Kajian ini juga akan menilai keperluan infrastruktur yang diperlukan bagi menyokong pelaksanaan air pulih guna, mekanisme kawal selia kualiti air pulih guna serta model pelaksanaan yang bersesuaian.
“Bagi memastikan dasar yang dibangunkan bersifat menyeluruh dan dapat dilaksanakan dengan berkesan, PETRA juga akan mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh yang berkaitan.
“Ini termasuk Pihak Berkuasa Sumber Air Negeri, Operator Air Negeri, Indah Water Konsortium (IWK), agensi kerajaan Persekutuan dan negeri serta pihak industri,” katanya ketika menjawab soalan Senator Musoddak Ahmad di Dewan Negara.
Jelas beliau, dapatan kajian tersebut akan menjadi asas kepada kerajaan dalam merangka dasar, kerangka pelaksanaan dan mekanisme kawal selia yang bersesuaian bagi pembangunan air pulih guna negara.
Tambah beliau, kerajaan komited menggalakkan penggunaan air pulih guna sebagai salah satu pendekatan untuk meningkatkan kecekapan penggunaan air, khususnya bagi sektor industri yang tidak memerlukan air terawat berkualiti minuman.
Usaha itu selaras dengan komitmen kerajaan untuk memperkukuh jaminan bekalan air negara menerusi pengurusan sumber air yang lebih mampan, cekap dan berdaya tahan.