
PUTRAJAYA, 21 Julai – Pengukuhan sektor agromakanan dan ternakan merupakan antara langkah strategik untuk memastikan bekalan makanan negara kekal terjamin meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan perubahan iklim.
- Kerajaan melalui Ekonomi MADANI komited memperkukuh sektor ternakan untuk meningkatkan pengeluaran tempatan dan mengurangkan kebergantungan import.
- Keterjaminan makanan diangkat sebagai agenda keselamatan dan kedaulatan negara, bukan isu pertanian semata-mata.
- Penyelesaian merentas sempadan diperlukan kerana keterjaminan makanan, perubahan iklim dan penyakit haiwan menuntut kerjasama antarabangsa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu menegaskan, kerajaan melalui kerangka Ekonomi MADANI komited memperkukuh sektor ternakan negara bagi meningkatkan pengeluaran tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Jelasnya, aspek keterjaminan makanan negara tidak lagi dianggap sebagai isu pertanian semata-mata, sebaliknya perlu diangkat menjadi sebahagian agenda keselamatan dan kedaulatan negara.
“Dalam sektor ternakan, Ekonomi MADANI bertujuan meningkatkan pendapatan pengusaha ternakan, memperbaiki taraf hidup mereka dan memperkukuh keterjaminan makanan negara melalui pengurangan kebergantungan kepada import.
“Keterjaminan makanan, perubahan iklim dan penyakit haiwan tidak mengenal sempadan. Oleh itu, penyelesaian yang kita laksanakan juga perlu bersifat merentas sempadan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Global Animal Production & Veterinary Industry Summit (GAVIS) 2026 di sini.
GAVIS 2026 menghimpunkan 108 pembentang, termasuk 51 pakar antarabangsa dari negara seperti China, Australia, United Kingdom, Indonesia dan Vietnam.
Bertemakan One Voice, One Health, One Future, persidangan berkenaan menyediakan platform penting untuk pertukaran ilmu, memupuk inovasi dan memperkukuh kerjasama dalam menangani cabaran bersama.